Sunmow Holding Berhad

News & Releases

Usaha sama Sunmow-Kemena raih kontrak jalan penghubung Sarawak-Sabah bernilai RM1 bilion

SUNMOW dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, projek itu berkaitan Pakej 4B (Bukit Pagon ke Long Luping) dan diperoleh melalui surat setuju terima (LoA) pada 16 Ogos daripada kontraktor utama projek berkenaan, Maltimur Aktif Unggul JV Sdn Bhd (MAUJV).

KUALA LUMPUR: Usaha sama antara anak syarikat milik penuh Sunmow Holdings Bhd (Sunmow), Sunmow Construction Sdn Bhd (SCSB) dan Kemena Holding Sdn Bhd (Kemena) memperoleh kontrak bernilai RM1.02 bilion bagi Fasa 2 projek Jalan Penghubung Sarawak-Sabah.

Sunmow dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, projek itu berkaitan Pakej 4B (Bukit Pagon ke Long Luping) dan diperoleh melalui surat setuju terima (LoA) pada 16 Ogos daripada kontraktor utama projek berkenaan, Maltimur Aktif Unggul JV Sdn Bhd (MAUJV).

Syarikat itu berkata, kerja-kerja dijangka siap dalam tempoh 48 bulan daripada tarikh LoA dan tarikh penyiapan praktikal sebenar adalah tarikh yang disahkan oleh MAUJV dalam sijil penyiapan praktikal.

Menurut Sunmow, usaha sama itu akan memberi peluang untuk mengukuhkan pendapatan kewangan dan selaras dengan rancangan kumpulan untuk terus memanfaatkan kekuatan dalam aktiviti pembinaan serta berkembang ke dalam segmen pembinaan jalan serta mempelbagaikan aliran pendapatan pelengkap bagi menyediakan nilai kepada pemegang saham.

“Selain itu, usaha sama tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan sesaham dan pendapatan kumpulan pada masa depan.

”Lembaga pengarah berpendapat LoA itu tidak dijangka memberi kesan ketara terhadap aset bersih setiap saham kumpulan Sunmow bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2024,” katanya. – Bernama